Kecerdasan, tingkah laku, dan komunikasi Anjing

Kecerdasan

Rencana utama: Kecerdasan anjing

Kecerdasan anjing ialah kebolehan anjing untuk mengamati maklumat dan mengekalkannya sebagai pengetahuan untuk kegunaan penyelesaian masalah. Anjing diketahui dapat belajar melalui pentakbiran. Satu kajian dengan Rico menunjukkan bahawa ia mengetahui label bagi lebih daripada 200 item berlainan. Ia mentakbirkan nama bagi item baharu dengan pembelajaran pengecualian dan sebetulnya mengutip item-item baharu berkenaan serta-merta dan juga 4 minggu selepas pendedahan pertama. Anjing mempunyai kemahiran ingatan lanjut. Satu kajian mendokumenkan kemampuan pembelajaran dan ingatan bagi seekor collie sempadan, "Chaser", yang mempelajari nama-namanya dan dapat melakukan perkaitan dengan arahan kata melebihi 1,000 patah perkataan.[halaman diperlukan] Anjing dapat membaca bahasa tubuh manusia, seperti gerak isyarat dan penudingan, dan bertindak balas dengan sesuai terhadapnya dan memahami arahan suara manusia, walaupun satu kajian dari tahun 2018 terhadap kebolehan kognisi anjing menemukan bahawa kemampuan anjing adalah tidak lebih luar biasa daripada yang pada binatang lain, seperti kuda, cimpanzi, atau kucing.[87]

Anjing menunjukkan teori minda dengan melibatkan diri dalam penipuan.[halaman diperlukan] Satu kajian uji kaji menunjukkan bukti meyakinkan bahawa dingo Australia dapat menjadi lebih cemerlang dalam penyelesaian masalah bukan sosial berbanding dengan anjing bela jinak, menandakan bahawa anjing bela jinak mungkin telah kehilangan kebanyakan kebolehan penyelesaian aslinya sejurus selepas menyertai manusia.[88] Sebuah lagi kajian menandakan bahawa selepas melalui pelatihan untuk menyelesaikan tugasan manipulasi mudah, anjing-anjing yang dihadapkan dengan versi yang tidak dapat diselesaikan bagi masalah sama memandang manusia, sementara serigala tersosial tidak berbuat demikian.[89] Anjing bela jinak moden menggunakan manusia untuk menyelesaikan masalah untuknya.[90][91]

Tingkah laku

Rencana utama: Tingkah laku anjing

Tingkah laku anjing merupakan gerak balas (tindakan atau ketiadaan tindakan) berkoordinasi dalaman bagi anjing bela jinak (individu atau kelompok) terhadap rangsangan dalaman dan/atau luaran.[92] Sebagai spesies bela jinak paling tua, dengan anggaran yang berjulat dari 9,000–30,000 tahun SM, minda anjing tidak dapat mengelak daripada pembentukan oleh pertembungan dengan manusia selama beralaf-alaf. Sebagai hasil daripada evolusi fizikal dan sosial ini, anjing, lebih daripada mana-mana spesies lain, telah memperoleh kebolehan untuk memahami manusia dan berkomunikasi dengan manusia, dan menjadi sesuai secara unik terhadap tingkah laku manusia.[18] Ahli sains tingkah laku telah membongkar set kebolehan sosial-kognitif yang mengejutkan pada anjing bela jinak. Kebolehan-kebolehan ini tidak dimiliki oleh kerabat kanin paling rapat anjing mahupun oleh mamalia lain yang sangat cerdas seperti beruk besar tetapi selari dengan sesetengah kemahiran sosial-kognitif pada anak manusia.[93]

Tidak seperti spesies bela jinak lain yang dipilih terutamanya untuk trait-trait berkaitan dengan penghasilan, anjing pada awalnya dipilih untuk tingkah lakunya.[94][95] Pada tahun 2016, satu kajian menemukan bahawa hanya ada 11 gen tetap yang menunjukkan variasi antara serigala dengan anjing. Variasi-variasi gen ini mungkin sekali bukan disebabkan oleh evolusi semula jadi, dan menandakan pemilihan terhadap kedua-dua morfologi dan tingkah laku semasa pembelajinakan anjing. Gen-gen ini ditunjukkan menjejaskan laluan sintesis katekolamina, dengan kebanyakan gen yang menjejaskan gerak balas lawan atau lari[95][96] (iaitu pemilihan untuk kejinakan), dan pemprosesan emosi.[95] Anjing umumnya menunjukkan ketakutan dan kelangsangan berkurang berbanding dengan serigala.[95][97] Sesetengah gen ini telah dihubungkaitkan dengan kelangsangan pada sesetengah baka anjing, menandakan kepentingan gen-gen ini dalam kedua-dua pembelajinakan awal dan kemudiannya dalam pembentukan baka.[95] Trait-trait kebolehsosialan tinggi dan kekurangan ketakutan pada anjing mungkin menyertakan pengubahsuaian genetik yang berkaitan dengan sindrom Williams-Beuren pada manusia, yang menyebabkan kehiperbolehsosialan sambil mengorbankan kebolehan penyelesaian masalah.[98][99][100]

Komunikasi

Rencana utama: Komunikasi anjing

Komunikasi anjing merupakan cara yang digunakan oleh anjing untuk menyampaikan maklumat kepada anjing lain, cara untuk memahami pesanan daripada manusia, dan cara yang digunakan oleh manusia untuk menterjemahkan maklumat yang dihantarkan oleh anjing.[101]:xii Tingkah laku komunikasi anjing termasuk renungan mata, ekspresi muka, penyuaraan, postur badan (termasuk pergerakan tubuh dan anggota), dan komunikasi pengecapan (bau, feromon, dan kecapan). Manusia berkomunikasi dengan anjing dengan menggunakan penyuaraan, isyarat tangan, dan postur badan.

Rujukan

WikiPedia: Anjing http://php.med.unsw.edu.au/embryology/index.php?ti... http://www.fci.be/ http://www.hlthss.gov.nt.ca/english/services/healt... http://injuryprevention.bmj.com/content/2/1/52.ful... http://www.cpvh.com/2011/07/27/gestation-in-dogs/ http://dogtime.com/diseases-shared-by-humans-pets-... http://veterinarycalendar.dvm360.com/canine-estrou... http://veterinarynews.dvm360.com/dvm/Working+with+... http://www.entirelypets.com/toxicfoods.html http://www.ancient.eu.com/article/184/